Tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran. Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup. Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya. Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.
Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga meminang si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam, apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari Al-Quran dan sunnah. Apabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan kabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat.Ya... perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, hubungan membina keluarga Muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala. Ada sirah mentafsirkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri.
Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh. Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya. Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.
Seganlah!
Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup umat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit.
Sebenarnya, ada sesetengah adat dan syariat yang boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan di hadapan sekali hatta pedang di leher sekalipun. Kebenaran itu di zaman ini dilihat asing dan janggal di mata masyarakat. Justeru menjadi "cicak yang pekak" amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!
Risikonya adalah antara diterima atau ditolak. Kalau diterima maka hal itu merupakan sebuah jawapan yang indah dan kita inginkan. Tetapi jika ditolak, perkara ini adalah bukan sesuatu yang memalukan atau sesuatu yang hina. Malah hal ini merupakan ladang kesabaran yang akan mendatangkan pahala yang besar.
Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, Insyallah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Oleh itu kita harus memilih orang yang dipercayai memiliki sifat amanah sebagai wakil kepada kita untuk menyampaikan hasrat hati. Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik di dunia, Rasulullah s.a.w. juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita. Orang tengah itu boleh jadi ahli keluarga terdekat, sahabat yang dipercayai, guru atau ustaz/ustazah kita.
Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah, Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah. Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasangan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun. Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka. Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.
Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.
Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya…!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)
Kesimpulannya, nak kahwin ni senang cuma kita sahaja yang memberat-beratkan dengan pelbagai alasan. Adakah bila kita sukakan seseorang, kita hanya perlu duduk ditikar sejadah dan berdoa sambil mengharapkan jodoh atau orang yang kita sukai itu datang bergolek kepada kita? Tidak. Yang penting usaha. Ia senang. Jika sukakan seseorang, hantarkan wakil untuk menyampaikan hajat kita. Kemudian jika kedua pihak bersetuju, boleh lah aturkan perkara yang seterusnya. Kalau kita ikhtiar untuk dapatkan jodoh pun dikira amal soleh. Dalam hal ini, tiada halangan bagi orang perempuan untuk melamar lelaki, sebagaimana lelaki pun tiada larangan nak melamar perempuan. Syariat Islam memberi hak yang sama antara lelaki dan perempuan.
No comments:
Post a Comment