Maksud Istidraj
Ianya adalah pemberian nikmat Allah swt kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan Istidraj.
Ianya adalah pemberian nikmat Allah swt kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan Istidraj.
Rasullulah s. a. w. bersabda "Apabila kamu melihat bahawa Allah
Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat
maksiat(durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah
SWT." (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang
terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang
kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat
mereka. Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat
kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw
dan berpegang teguh pada agama Islam.
Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari
semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja,
bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa
sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup
tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah
menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa
kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk
neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka.
Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak
sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di
muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik Nabi
Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya,
mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.
Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat
maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang
yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli,
sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun,
rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam
aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang
banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.
Rasullulah s. a. w bersabda: “Apabila Allah menghendaki untuk
membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab
Nasaibul’Ibad)
Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di
bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak
membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai
pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba
melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan
Allah swt.
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit,
bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain
selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati
juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi
dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.
Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat
Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya
disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang
hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan
bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya,
jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah
segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan
orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh
Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah
bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan
kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj.
Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk
kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita
tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan
kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara
untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari
hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia
bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan
sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah
kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila
tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di
dunia dan akhirat.

No comments:
Post a Comment